Berkata Imam Ibn Hazm al-Andalusi (rh);
“Telah sepakat para imam, bahawa mencukur janggut adalah perbuatan keji, tidak dibolehkan” (al-Muhalla)
خا لفوا الشركين وفروا اللحي واحفوا الشوارب
Dari Ibn Umar (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan nipiskan misai kamu.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Ibn Umar (ra) berkata bahawa “Kami telah diperintahkan supaya memelihara janggut.” (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda, “Peliharalah janggut kamu dan cukurlah misai kamu, jangan kamu menyerupai Yahudi dan Nasrani.” (HR Ahmad)
Dari Abu Hurairah (ra) Rasulullah (saw) bersabda, “Cukurlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (HR Muslim)
لاتشبهوا با لاعاخم , اعفوا اللحى
Dari Ibn Abbas (ra) berkata: Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai ‘Ajam (orang asing dan kafir), maka peliharalah janggut kamu.” (HR Al-Bazzar)
Hadis-hadis di atas adalah hadis bersifat suruhan dan perintah. Maka para ulama telah memutuskan hukum memelihara janggut dan mencukur (menipiskan) misai adalah wajib. Setiap perintah wajib dipatuhi berdasarkan hadis di bawah.
Dari Anas (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda; “Sesiapa yang tidak suka terhadap sunnahku, maka dia bukanlah golonganku.” (HR Bukhari & Muslim)
Maksud sunnah ialah setiap perkara yang datang dari Rasulullah (saw) sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan dan pengakuan. Sunnah Rasulullah (saw) ada yang bersifat wajib dan ada yang bersifat mustahab / mandub (sunat). Memelihara janggut adalah sunnah wajib.
Dari Jabir (ra) berkata; “Sesungguhnya Rasulullah lebat janggutnya.” (HR Muslim)
“Adalah Abu Bakr (ra) lebat janggutnya, Uthman (ra) jarang (tidak lebat) janggutnya tetapi panjang, dan Ali (ra) tebal janggutnya.” (HR Tirmizi)
Berkata Bukhari, “Ibn Umar (ra) menipiskan misai sehingga kelihatan kulitnya yang putih dan memelihara janggut dan jambangnya.” (Fathul Bari, Ibn Hajar)
Para Imam Mujtahidin yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali (rh) sepakat mengenai kewajipan memelihara janggut dan haram mencukurnya.
Menurut mazhab Hanafi bahawa “Dilarang (diharamkan) bagi lelaki mencukur janggutnya… iaitu memotong janggut kurang dari segenggam. Mencukur janggut sepenuhnya telah dilakukan oleh Yahudi dan Majusi.” (Durr al-Mukhtar)
Ulama Maliki menyatakan bahawa “Mencukur janggut adalah diharamkan kerana mencukurnya adalah perbuatan keji. Tapi jika ia semakin besar, dan jika memotong tidak dilihat sebagai mencukurnya, maka ia boleh dipotong (trim), tapi ia dikira makruh dan bertentangan dengan apa yang lebih baik.” (Sharh al-Risalah)
Al-‘Adwi (rh) berkata; “Diriwayatkan dari Imam Malik (rh) bahawa beliau tidak menyukai perbuatan mencukur apa-apa yang di bawah rahang, sehingga ia berkata, ‘Ia adalah perbuatan Majusi.’ Dan diharamkan mencukur helaian-helaian janggut” (ibid)
Imam Syafi’i (rh) dalam kitab al-Umm menegaskan bahawa, “Mencukur janggut adalah haram hukumnya tanpa ‘illah (iaitu pengharamannya tanpa dalih-dalih lagi).”
Mazhab Hambali bersetuju tanpa kecuali bahawa diharam mencukur janggut (Al-Insaf, Sharh al-Muntaha).
KADAR PANJANG JANGGUT MENGIKUT SYARIAH
Janggut adalah apa-apa yang tumbuh di muka iaitu rambut-rambut yang yang terdapat pada tepi muka kiri dan kanan yang bersambung dengan rambut di kepala yang dikenali jambang dan di bawah dagu.
Oleh itu, dapatlah difahami bahawa janggut yang kurang dari segenggam tidak memenuhi maksud sunnah. Yang menyedihkan, ramai di kalangan agamawan pun tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulama salaf berkaitan dengan janggut ini. Mereka mengatakan perkara ini remeh-temeh dan kurang penting. Berbagai alasan yang kita dengar untuk mengelak dari melaksanakan sunnah wajib ini. Satu daripada hujah mereka ialah memelihara janggut adalah sunnah jibiliyyah (adat kebiasaan) orang ‘Arab. Fahaman ini bertentangan apa yang diputuskan oleh ulama salafus soleh dari generasi awal Islam.
PENGECUALIAN
Syariah Islam adalah fleksibel dan praktikal kerana mengambilkira semua faktor sekelilingnya. Bagi mereka yang mempunyai sebab-sebab tertentu seperti berkaitan rawatan perubatan yang memerlukan janggut perlu dicukur, maka syariah membenarkannya.
Kewajipan memelihara janggut adalah bagi mereka yang mempunyai janggut. Bagi mereka yang memang ditakdirkan tidak tumbuh janggut, mereka dikecualikan dari kewajipan ini. Seseorang mungkin boleh berikhtiar dengan melakukan ‘petua’ tertentu supaya janggutnya tumbuh serta berdoa’ agar Allah (swt) menumbuhkan janggutnya.
No comments:
Post a Comment