Persoalan2 Sekitar Puasa Enam Syawal:
------
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
------
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa`id al-Khudri berkata: "Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha." [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]
------
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
------
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.
Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Ali Imran 3:133]
------
Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunat Enam Syawal
------
Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam Syawal.
Ini adalah satu bid`ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari`at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri." [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1134 (Kitab al-Solat, Bab solat dua hari raya)]
Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari`atkan oleh Allah s.w.t.. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam Syawal.
Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1
------
Terdapat pandangan yang amat masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2 dalam 1.
Padahal ia adalah satu persoalan yang amat berat. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah (1394H) menjelaskan:
"Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. [al-Baiyinah 98:05].
Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi`e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.
Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada dibenarkan oleh Allah s.w.t.. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima." [Pedoman Puasa (Thinker's Library, Kuala Lumpur, 1996), ms. 136-137]
Sumber: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/10/050-puasa-enam-puasa-syawal-edisi.html
No comments:
Post a Comment