Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetahui nasibnya Isnin ini dalam perbicaraan di mana beliau dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dijangka memberikan keputusan pada akhir kes pendakwaan sama ada Anwar akan diminta membela diri atau dibebaskan.
Ini merupakan pertuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.
Peguam utama Anwar Karpal Singh, ketika dihubungi Bernama, berkata beliau bersedia bagi sebarang kemungkinan dan telah menyiapka persediaan jika Anwar diperintah membela diri.
"Saya tidak berminat untuk membuat spekulasi mengenai keputusan itu dan berharap mahkamah akan mengambil pertimbangan pada sesetengah kekurangan dalam kes pendakwaan," kata Karpal.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, kerana kesalahan persetubuhan di luar tabii di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Sungguhpun pasukan pembelaan pada mulanya berjaya memohon untuk kes itu didengar di mahkamah rendah, Mahkamah Tinggi pada 3 Mac, 2009, membenarkan rayuan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Ia mengambil masa hampir setahun sebelum perbicaraan liwatnya itu dimulakan, dengan pasukan pembelaan cuba mengetepikan pertuduhan terhadap Anwar.
Setelah gagal dalam permohonan awal di mahkamah tertinggi, pihak pembelaan kembali dengan permohonan lain mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah untuk laporan perubatan mengenai Anwar yang dijalankan oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perbicaraan itu, yang bermula pada 3 Feb tahun lepas, di mana Mohd Saiful, 25, memberikan keterangan dengan memberitahu mahkamah mengenai tugasnya di pejabat Anwar sebagai pembantu dan dakwaan insiden tersebut.
Malah Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak buang air besar selama dua hari selepas mendakwa diliwat.
Mohd Saiful juga memberikan keterangan bahawa slek hitam yang dipakai beliau pada hari dituduh diliwat adalah hadiah daripada Anwar.
Pendakwaan memanggil 27 saksi, termasuk tiga pakar dari HKL yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku.
Pihak pendakwaan juga menggunakan sepenuhnya penemuan dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, bahawa profil DNA "lelaki Y" didapati di dubur Mohd Saiful yang pada hakikatnya adalah milik Anwar.
--Bernama
Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/164154
No comments:
Post a Comment